Latar belakang Tentera_Udara_Amerika_Syarikat

Tentera Udara A.S merupakan angkatan tentera udara yang terbesar, dan mempunyai teknologi termaju di dunia. Ia memiliki sebanyak 5,778 buah pesawat (4,093 buah milik tentera udara; 1,289 buah milik Pengawal Kebangsaan Udara; dan 396 buah milik Pasukan Simpanan Tentera Udara);[3] kira-kira 156 buah Pesawat Tempur Udara Tanpa Pemandu (UCAV), 2130 buah Peluru berpandu kruis pelancaran udara,[4] dan 450 peluru berpandu balistik antara benua. Sehingga 30 September 2007, Tentera Udara A.S mempunyai 328,600 anggota perkhidmatan aktif, 117,497 anggota Arahan Simpanan Tentera Udara, dan 106,700 anggota Pengawal Udara Kebangsaan. Tentera Udara juga menggaji seramai 168,900 orang awam termasuk penggajian tidak langsung warganegara asing.[5]

Pada tahun 2007, disebabkan oleh kekangan belanjawan, Tentera Udara A.S telah mengurangkan saiz kekuatannya anggota dalam perkhidmatan aktifnya daripada 333,000 kepada 316,000 anggota, yang merupakan kekuatan terkecil sejak serangan ke atas Pearl Harbor. Berdasarkan kenyataan Ketua Turus Tentera Udara Amerika Syarikat Jeneral T. Michael Moseley.[6] Kekuatan anggota tugas aktif sekarang ialah kira-kira 70% daripada kekuatan Tentera Udara A.S semasa akhir Perang Teluk pertama pada tahun 1991.[7]

Bukan semua pesawat tempur angkatan tentera Amerika Syarikat dikendalikan oleh Tentera Udara A.S. Sebagai contoh, Tentera Darat Amerika Syarikat mengendalikan sendiri helikopternya yang kebanyakannya digunakan untuk menyokong serangan darat; ia juga memiliki dan menyelenggara sejumlah kecil pesawat kepak kaku (terutamanya Pesawat Udara Tanpa Pemandu) (UAV). Tentera Laut Amerika Syarikat pula bertanggungjawab atas pelbagai jenis pesawat, termasuk pesawat tempur udara dan rondaan maritim yang beroperasi di atas 11 buah kapal pengangkut pesawat dan pesawat pengangkut yang beroperasi di beberapa pangkalan udara di seluruh dunia. Kor Marin pula menggunakan pesawat tempur dan pengangkut mereka sendiri untuk menyokong misi darat dan sering kali digunakan bersama dengan penerbangan laut. Pengawal Pantai Amerika Syarikat juga mengoperasi pesawat pengangkut dan Cari dan Selamat (SAR), yang berperanan dalam pertempuran dan penguatkuasaan undang-undang. Kesemua cabang dalam angkatan tentera A.S mengoperasi helikopter.

Jabatan Tentera Udara diketuai oleh seorang penjawat awam yang dikenali sebagai Setiausaha Tentera Udara yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal pentadbiran. Jabatan Pertahanan Tentera Udara ialah satu cabang Jabatan Pertahanan, yang diketuai oleh Setiausaha Pertahanan. Pangkat tertinggi bagai pegawai tentera di Jabatan Pertahanan Tentera Udara ialah Ketua Turus Tentera Udara Amerika Syarikat.